ALOR GAJAH 26 April 2010 - Tindakan empat penjenayah 'bersukaria' dengan minum minuman keras selepas memecah masuk banglo mewah milik seorang ahli perniagaan memakan diri apabila seorang daripadanya parah ditembak oleh mangsa.
Lebih malang, penjenayah yang berlubang di tangan kirinya akibat tembakan itu ditinggalkan oleh rakan-rakannya di kawasan hutan kira-kira 250 meter dari tepi jalan di Kilometer 214.2 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala arah utara.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi itu berlaku, apabila empat lelaki memecah masuk bilik di tingkat atas banglo terbabit di Simpang Ampat, yang digunakan oleh anak ahli perniagaan terbabit, menantu dan cucunya.
Mendengar bunyi bising dan mengesyaki sesuatu yang buruk sedang berlaku, ahli perniagaan itu, E Lai Choon, 60, yang juga Ketua Platun Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, bingkas bangun daripada tidur lalu mencapai senapang patah dari bawah katil.
Dia kemudiannya segera ke tingkat atas dan mendapati anak lelakinya sedang diacukan pisau oleh dua penjenayah di dalam bilik. Tanpa berfikir panjang, Lai Choon terus melepaskan empat das tembakan ke arah dua rakan suspek yang berada di luar bilik.
Akibat tembakan itu, kesemua suspek bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof ketika ditemui di tempat kejadian hari ini berkata, hasil siasatan, polis menemui seorang suspek lelaki berusia 30-an di kawasan hutan terbabit.
Katanya, suspek berasal dari Jawa Timur, Indonesia dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Tambahnya, polis memburu tiga lagi suspek dengan dua daripadanya dipercayai masih bersembunyi di kawasan hutan itu manakala seorang lagi melarikan diri menggunakan kereta.
"Operasi mencari akan diteruskan termasuk mendapatkan kerjasama polis di sempadan Negeri Sembilan, Johor dan Pahang," katanya.
Beliau berkata, Lai Choon dan semua ahli keluarganya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Lai Choon ketika ditemui berkata, tiada barang berharga miliknya dilarikan suspek.
Dia bagaimanapun terkejut melihat beberapa tin minuman keras di peti sejuknya bertaburan di lantai dipercayai angkara penjenayah terbabit.
"Tidak sangka, sebelum merompak, mereka masih sempat menikmati minuman keras sebelum membawa tong gas untuk memecahkan pintu bilik anak saya di tingkat atas," katanya.
Tambahnya, kejadian itu adalah yang pertama berlaku sejak dia tinggal di situ, sembilan tahun lalu.
Lai Choon ketika menceritakan detik-detik cemas itu berkata, dia cuma memikirkan keselamatan ahli keluarganya apabila mengambil keputusan menembak suspek.
"Saya masuk tidur kira-kira pukul 2 pagi sebelum tersedar pada pukul 4.45 pagi apabila terdengar suara lelaki menjerit meminta menyerahkan wang jika mahu selamat,'' katanya.
Lai Choon berkata, kesemua penjenayah itu mungkin tidak menyangka dia berada di rumah kerana kenderaannya diletakkan di kediaman jiran.
Monday, April 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment