Sunday, April 4, 2010

Warga emas dibelasah isu buang sampah meninggal

2010/04/05
KOTA BHARU: Seorang warga tua mati selepas kira-kira tiga hari dalam keadaan kritikal akibat dibelasah dua individu termasuk menantu jirannya, disebabkan perselisihan berhubung sampah yang dibuang di tepi jalan.

Mangsa, Mamauod Talib, 55, mati ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kira-kira jam 12.15 pagi Jumaat lalu, selepas kritikal akibat kecederaan parah di kepala, ekoran serangan itu yang dialaminya kira-kira jam 6 petang Selasa lalu.

Mamauod yang juga seorang tukang urut, dibelasah dua individu itu yang dikatakan campur tangan memihak kepada seorang wanita yang sebelum itu berselisih faham dengan mangsa yang menegurnya membuang sampah di tepi jalan serta mengancamnya dengan tongkat. Isteri mangsa, Siti Fatimah Awang Ya, 50, berkata sebelum kejadian, suaminya keluar rumah bersama anak bongsunya, Nur Fatihatu Mujahadah, 3, untuk mencari pendawai elektrik kerana bekalan ke rumah mereka terputus kira-kira jam 6 petang.

"Tidak lama kemudian, seorang jiran bergegas memaklumkan saya yang suami dipukul orang dan ketika itu, anak bongsu pulang ke rumah sendirian sambil memaklumkan perkara sama.

"Saya ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah dan melihat suami terlentang dengan mulutnya berlumuran darah," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Berek 12 di sini, petang semalam.

Siti Fatimah berkata, abang iparnya menghubungi ambulans untuk membawa suaminya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sebelum dirujuk ke HUSM bagi menjalani pembedahan berikutan belakang kepala dan tulang pipi mangsa mengalami keretakan.
"Suami saya menjalani pembedahan kira-kira empat jam pada awal pagi Rabu tetapi meninggal dunia awal pagi Jumaat.

"Sehari selepas suami dipukul, anak saya membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa tetapi dimaklumkan seorang daripada suspek sudah melarikan diri dari sini, katanya.

Beliau berkata, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Bemban, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment