Friday, April 9, 2010

Lima ditahan edar dadah RM250,000

JOHOR BAHRU 9 April 2010 - Tiga lelaki dan dua wanita ditahan dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Dalam serbuan itu baru-baru ini, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, syabu, heroin dan ganja seberat hampir tiga kilogram bernilai RM250,000, dipercayai untuk diedarkan kepada 50,000 pelanggan di sekitar negeri ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 24 hingga 38 tahun dipercayai orang bawahan yang bertindak mengagihkan bekalan dadah berkenaan kepada para pelanggan.

Serbuan pertama diadakan di Taman Johor Jaya pada pukul 12.45 tengah hari Selasa lalu, diikuti serbuan di sebuah rumah di Kampung Seri Jaya Tampoi kira-kira pukul 3.30 petang hari yang sama.

Susulan daripada itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Uda di sini kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, turut dirampas adalah wang tunai RM20,000 dan beberapa kenderaan seperti Proton Perdana, Proton Wira, Honda Civic dan motosikal Yamaha LC.

"Polis percaya kenderaan itu digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya lagi, hasil ujian air kencing mendapati, salah seorang daripada suspek dikesan positif mengambil dadah jenis ganja.

Beliau seterusnya berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment