Monday, April 19, 2010

Suami isteri dicekup edar dadah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/20
Misteri hidup mewah buruh terbongkar selepas polis serbu banglo proses ecstasy

KUALA LUMPUR: Misteri kehidupan mewah seorang buruh dan isterinya seorang suri rumah yang tinggal di banglo dan memperoleh pendapatan kira-kira RM90,000 sebulan, terbongkar selepas ditahan di rumah mereka di Taman Teratai, Ampang, Khamis lalu.

Pasangan berusia 58 dan 38 tahun ini didapati mendalangi kegiatan memproses dan mengedar pil ecstasy di kediaman mereka. Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, polis turut menemui sebuah makmal mini memproses pil berkenaan selain membongkar taktik baru pemprosesan pil ecstasy dengan mencampur viagra bagi menguatkan kesan pengambilannya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata penahanan pasangan suami isteri itu dibuat hasil maklumat orang awam dan risikan sepasukan anggota dan pegawainya, sejak empat bulan lalu.

“Hasil serbuan di kediaman dua tingkat itu, polis merampas tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin sebanyak 2,720 gram bernilai RM8,000, 156 biji ecstasy, serbuk pelbagai warna seberat 757 gram dipercayai bahan untuk menghasilkan pil berkenaan.

“Turut dirampas pelbagai peralatan digunakan untuk memproses pil itu sebelum diedarkan di kelab malam, di sekitar ibu negara,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, suspek lelaki bekerja sebagai buruh dan mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala isterinya tidak bekerja. Hasil ujian kencing juga mendapati pasangan itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Pasangan itu yang mempunyai dua anak dipercayai bergiat aktif dalam memproses dadah sejak awal tahun ini dan menjadikan kediaman mewah mereka untuk menghasilkan pil berkenaan.

“Kita juga mendapati mereka mencampur serbuk ecstasy dengan pil viagra serta menjualnya pada harga RM40 sebiji.

“Siasatan kita mendapati pasangan itu mampu menghasilkan 100 biji pil sehari dengan jumlah pendapatan bulanan mencecah kira-kira RM90,000,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

No comments:

Post a Comment