Monday, April 26, 2010

Tikam kekasih akibat cemburu

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/27
Tukang kayu kemudian minum racun anai-anai

AMPANG: Seorang tukang kayu disyaki menikam teman wanitanya empat kali di perut sehingga mati sebelum cuba membunuh diri dengan meminum racun anai-anai dipercayai kerana cemburu di Kondominium Pandan Perdana di sini, awal pagi semalam. Mayat Chung Yoke Mun, 27, dengan empat kesan tikaman ditemui di atas katil bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah, manakala teman lelakinya berusia 26 tahun dikenali Chang dijumpai dalam keadaan kritikal bersebelahan mayat kekasihnya dipercayai akibat meminum racun. Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 10 pagi kelmarin hingga 12.30 pagi semalam.

Katanya, kedua-dua mangsa ditemui ibu Chang selepas ke rumah sewa anaknya yang didiami bersama Chung berikutan anaknya gagal dihubungi kali terakhir jam 10 pagi kelmarin.

“Apabila Chang tidak menjawab telefon, ibunya ke rumah sewa pasangan itu lewat malam dan mengetuk pintu biliknya beberapa kali. Apabila tiada jawapan, dia menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta bantuan untuk membuka pintu bilik mereka.

“Apabila dibuka, anggota dan pegawai bomba menemui Chung terlantar di atas katil dengan berlumuran darah.

“Pemeriksaan mendapati wanita itu sudah mati, manakala teman lelakinya masih bernyawa tetapi tidak sedarkan diri dipercayai kesan meminum racun. Polis turut menemui botol racun dan pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Abdul Jalil berkata, siasatan awal polis mendapati pasangan yang sudah setahun tinggal bersama itu dikatakan berselisih faham dipercayai kerana suspek mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

“Akibat cemburu, suspek dikatakan menikam mangsa bertubi-tubi di perut sebelum meminum racun dengan harapan mati bersama,” katanya.

“Polis turut menahan tiga rakan serumah pasangan itu yang berada di bilik masing-masing ketika kejadian untuk diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan suspek yang masih dalam keadaan koma dirujuk ke Hospital Ampang untuik rawatan susulan

No comments:

Post a Comment