2010/04/10
SERI ISKANDAR: Dua lelaki membakar lori dipercayai milik mereka selepas kenderaan itu ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Lambor Kanan, berhampiran Kampung Rimba Raja, dekat sini, jam 1.30 tengah hari kelmarin.
Kejadian berlaku setengah jam selepas seorang daripada lelaki berkenaan yang juga pemandu lori itu melarikan diri apabila pegawai JPJ mahu memeriksa kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Muhamad Fakri Che Sulaiman, berkata laporan pegawai JPJ menyebut mereka mahu menahan lori itu untuk diperiksa selepas melihatnya dalam keadaan mencurigakan. “Belum sempat pegawai penguat kuasa bertindak, pemandu lori yang menyedari perkara itu melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tepi jalan.
“Setengah jam kemudian lelaki itu kembali ke situ bersama seorang rakannya dengan menaiki motosikal lalu membakar lori berkenaan sebelum beredar,” katanya di sini, semalam.
Muhamad Fakri berkata, pegawai JPJ yang berada di situ tidak sempat bertindak kerana ia berlaku begitu pantas.
Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pegawai JPJ berkenaan membuat laporan di Balai Polis Seri Iskandar dan lori itu dibawa ke balai untuk siasatan.
“Siasatan awal mendapati, nombor pendaftaran lori itu adalah palsu selain cukai jalannya sudah tamat tempoh.
“Kita masih menyiasat sama ada lori itu dicuri dan motif tindakan lelaki itu yang begitu tegar bertindak membakar lori berkenaan walaupun pegawai JPJ berada di kawasan terbabit,” katanya
Friday, April 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment