Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my
Amer Awal (tengah) beramah mesra sambil mengedarkan risalah kepada seorang pelanggan restoran ketika mengadakan lawatan sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
JOHOR BAHRU 18 April - Ekoran peningkatan kes-kes jenayah yang berlaku di hotel-hotel bajet, polis negeri ini akan melaksanakan lebih banyak Program Kepolisan Berprofil Tinggi untuk mengawasi premis itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal berkata, statistik menunjukkan premis itu kini menjadi pilihan penjenayah melakukan kegiatan mereka.
Katanya, antara faktornya adalah disebabkan hotel bajet tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Kegiatan jenayah dikesan termasuklah menghisap dadah, maksiat selain menjadi tempat persembunyian selepas merompak.
"Hotel-hotel itu juga menjadi tempat kepada remaja yang melarikan diri dari rumah," katanya kepada pemberita sebelum melakukan rondaan di hotel bajet di sekitar Taman Pelangi, di sini hari ini.
Amer berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta agar pemilik hotel berkenaan supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa menyalurkan sebarang maklumat.
Kata beliau, dengan kerjasama dua hala antara polis dan masyarakat, pihaknya yakin pencegahan jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
"Apabila perjumpaan seumpama itu kerap diadakan, orang ramai dapat mendampingi polis dengan lebih dekat.
"Kehadiran polis di lokasi tumpuan orang ramai ini juga diharap memberi keyakinan kepada orang ramai," ujarnya.
Dalam operasi empat jam bermula kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seramai 16 pegawai dan 30 anggota terlibat dalam program berkenaan yang antara lain mengedarkan risalah pencegahan jenayah.
Tambah Amer, program Kepolisan Berprofil Tinggi merupakan satu daripada inisiatif untuk mengurangkan kadar jenayah khususnya jenayah jalanan seperti disasarkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
"Pegawai kanan polis dikehendaki bersama-sama anggota di barisan hadapan 'menyapa' orang awam di lokasi dan masa secara sistematik," katanya.
Sunday, April 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment