KUALA LUMPUR 9 April 2010 - Seorang wanita terpaksa memanjat pagar rumah jirannya semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada serangan seorang peragut ganas yang nekad mengejarnya sehingga ke dalam kawasan rumah.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi semalam, Mary Rose a/p Joseph James, 63, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mutiara, Jinjang di sini selepas berjoging.
Menyedari dirinya diekori dua lelaki bermotosikal yang mencurigakan, mangsa cuba memasuki pekarangan rumah jirannya dengan memanjat pagar untuk menyelamatkan diri.
Dia tidak menyangka seorang daripada penjenayah yang bersenjatakan parang sanggup mengikut memanjat pagar sebelum mengugutnya menyerahkan barang kemas yang dipakai.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek berjaya mendapatkan rantai leher mangsa sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di luar rumah menaiki sebuah motosikal.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat di tempat kejadian, kita percaya suspek merupakan dua lelaki Melayu berusia lingkungan 25 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zakaria berkata, tempat kejadian dikenal pasti bukan kawasan panas jenayah tetapi orang ramai tetap dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak memakai barang kemas serta berjoging sendirian bagi mengelak menjadi mangsa samun.
Friday, April 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment