PULAU PINANG 20 April 2010 - Seorang bekas pengawal keselamatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 51.5 gram heroin dan monoacetylmorphine, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Yaacob Md. Sam menjatuhkan hukuman ke atas Albert Joseph, 36, selepas pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah atas kes pendakwaan.
''Selepas menimbangkan dan mengambil kira keterangan semua saksi, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes terhadap kamu, Albert tanpa sebarang keraguan.
''Oleh itu tiada hukuman lain yang boleh saya berikan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.
Albert yang memakai baju T berwarna merah dan berseluar jean biru dilihat menundukkan kepala ketika hukuman itu dijatuhkan manakala seorang wanita dipercayai isterinya terus menangis.
Albert dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 4.03 petang, 15 Januari 2008, di Jalan Lintang Bayan Lepas 4, Bayan di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan ke atas Albert yang diwakili peguam, Jagdeep Singh Deo dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng.
Tuesday, April 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment