Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2010/04/22
Buruh ladang ayam ditahan disyaki campak mayat tauke sebelum rumah mangsa dibakar
JITRA: Berang kerana tidak dibayar gaji, seorang pekerja ladang ayam disyaki membunuh majikannya sebelum membakar mayatnya di dalam rumah mangsa di Kampung SC Jalan Kampung Pochan, Mukim Hosba, Changlun di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, suspek rakyat tempatan berusia 24 tahun dikatakan membunuh majikannya, Tan Ah Yee, 64, di luar rumah sebelum mengheret mayat mangsa ke dalam rumah. Suspek kemudian dikatakan membakar rumah papan satu tingkat milik majikannya dengan mayat mangsa didalamnya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawalludin Hamenudin, berkata suspek muncul secara tiba-tiba ketika polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas pasukan bomba dan penyelamat memaklumkan penemuan mayat rentung di dalam rumah itu.
“Dia tiba-tiba muncul dan memberitahu dia adalah pekerja mangsa, tetapi mendakwa tidak sedarkan diri ketika kejadian kerana dia turut diserang dan dipukul tiga lelaki bertopeng.
“Bagaimanapun selepas disoal balas kita mendapati banyak keraguan dalam keterangan yang diberikannya.
“Berikutan keraguan itu dan berdasarkan siasatan awal kita mendapati suspek cenderung untuk melakukan jenayah dan menahannya bagi siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, polis turut menemui objek dipercayai selaras senapang berdekatan dengan mayat rentung mangsa.
“Kita belum boleh sahkan objek itu kerana ia musnah dalam kebakaran, bagaimanapun berdasarkan maklumat awal kita percaya ia adalah senapang patah milik mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohamad Darus, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan mangsa mengenai kebakaran pada jam 9.55 malam.
Katanya, rakan mangsa itu sendiri yang menunjukkan kepada anggota bomba arah ke rumah mangsa kerana ia terletak di kawasan yang agak terpencil.
“Kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian,” katanya.
Wednesday, April 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment