Tuesday, April 20, 2010

Rumah SUS Yang Dipertuan Besar dirompak

TELUK KEMANG 20 April 2010 - Kediaman Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Bandar Springhill dekat sini dipecah masuk sekumpulan lelaki, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa, Datuk Abdullah Abas dikatakan mengalami kerugian lebih RM30,000.

Penjenayah dipercayai warga Indonesia melarikan barang kemas, pingat anugerah, dua bilah keris, sebuah komputer riba, koleksi jam tangan dan wang tunai RM2,800.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, hasil siasatan awal, polis percaya kumpulan penjenayah itu terdiri daripada empat lelaki warga Indonesia.

Katanya, penjenayah terbabit memotong pagar belakang rumah mangsa sebelum memecah masuk dari pintu belakang.

"Suspek dipercayai naik ke tingkat atas rumah lalu menangkap anak lelaki mangsa sebelum mengikatnya dan membawa turun ke bilik mangsa di tingkat bawah.

"Mangsa yang sedang tidur ketika itu tergamam dengan kehadiran suspek dan cuba melawan tetapi dicederakan di bahagian paha dengan pemutar skru dan batang besi. Suspek kemudian bertindak mengikat mangsa dan isteri," katanya.

Baljeet berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Menurut beliau, polis turut menemui sebilah pisau, pemutar skru dan alat pemotong di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah berkenaan.

"Kita percaya kumpulan itu datang ke kawasan rumah terbabit dengan menaiki kenderaan bermotor. Polis sedang menyiasat dan memburu kumpulan penjenayah berkenaan," jelasnya.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment