Tuesday, April 27, 2010

Pesara tentera maut ditetak di dalam masjid

Mohamad Abdullah menunjukkan tempat di mana Allahyarham Che Ismail Che Hussin maut dalam satu pergaduhan di Masjid Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------
BACHOK 27 April 2010 - Akibat perselisihan faham, seorang pesara tentera mati ditetak oleh seorang lelaki di dalam Masjid Pauh Sembilan, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Che Ismail Che Hussin, 55, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat sini.

Rakannya berusia 43 tahun, bagaimanapun terselamat dan hanya cedera di pergelangan tangan kirinya akibat ditetak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, berikutan itu, lelaki terbabit yang juga dirawat di HUSM, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, pihaknya masih menyiasat motif perselisihan sehingga membawa kepada pembunuhan itu.

"Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan dalam masjid berdasarkan kesan darah.

"Kita menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mazlan berkata, pesara tentera itu bekerja sebagai penarik kereta dan berasal dari Jalan Sabak, Pengkalan Chepa dekat sini, manakala lelaki terbabit tinggal di kampung tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan tampil memberikan maklumat.

Sementara itu, seorang penduduk, Yaakob Mat, 63, berkata, sebelum kejadian, lelaki terbabit berada di dalam masjid berkenaan seorang diri selepas menunaikan solat Zuhur.

Katanya, beberapa minit kemudian, kira-kira tujuh lelaki termasuk pesara tentera itu yang dikenalinya datang ke pekarangan masjid tersebut dengan menaiki beberapa buah kereta.

"Saya nampak pesara tentera yang bersenjatakan parang masuk ke dalam masjid sementara beberapa rakannya menunggu di luar.

"Selepas beberapa minit saya terdengar bunyi bising dan lelaki terbabit tiba-tiba berlari keluar dengan tangannya berlumuran dadah.

"Pesara tentera yang mengalami kecederaan diusung oleh rakan-rakannya masuk ke dalam kereta sebelum dibawa ke HUSM untuk rawatan," katanya.

Sementara itu, bilal masjid, Mohamad Abdullah, 65, berkata, lelaki tersebut menunaikan solat Zuhur berjemaah bersamanya dan beberapa makmum yang lain.

Bagaimanapun selepas solat, katanya, lelaki itu terus berada dalam masjid seorang diri.

"Saya tidak tahu bagaimana kejadian berlaku kerana selepas solat saya terus pulang ke rumah.

"Saya tidak mengunci pintu masjid kerana melihat dia masih berada di dalamnya seorang diri dan hanya mengetahui kejadian itu selepas datang ke masjid kira-kira pukul 3.30 petang," katanya.

No comments:

Post a Comment