KUALA LUMPUR 4 April 2010 - Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika kini dikesan memperalatkan gadis dari Brunei sebagai kurier membawa dadah selepas beberapa cubaan mereka memperdayakan wanita Malaysia berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa negara ini.
Sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai transit mengedar dadah itu menggunakan laman sembang Internet untuk berkenalan dengan mangsa sebelum memujuk mereka datang ke negara ini.
Dalam pertemuan tersebut, mangsa yang biasanya sudah jatuh cinta dengan suspek akan dipujuk membawa 'barang' ke negara dunia ketiga tanpa menyedari ia sebenarnya dadah.
Difahamkan, anggota sindiket yang menyamar sebagai anak hartawan untuk memikat mangsa sanggup mengeluarkan wang untuk membeli pelbagai hadiah menarik kepada gadis itu bagi meyakinkan tentang 'keikhlasan' dalam percintaan.
Akibatnya, mangsa yang termakan pujuk rayu dan kata-kata manis jejaka Afrika terbabit sanggup melakukan apa sahaja termasuk menyeludup dadah tanpa pengetahuan mangsa.
Dalam beberapa kes, ada mangsa diperdaya kononnya diberikan percutian percuma di luar negara tetapi dalam masa sama diarahkan menghantar 'barang' kepada individu yang akan menunggunya di lapangan terbang.
Sumber polis Bukit Aman berkata, pihaknya menerima beberapa laporan dari Biro Kawalan Narkotik Brunei beberapa kes tangkapan warga Brunei di luar negara selepas diperdaya oleh sindiket rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.
Beliau berkata, maklumat diterima mengatakan kebanyakan mangsa diperdaya dengan kaedah halus iaitu diumpan menggunakan wang ringgit dan hadiah sehingga akhirnya terperangkap dan setuju bertemu suspek di Malaysia.
Katanya, terbaru, antara rakyat Brunei yang dilaporkan menjadi mangsa ialah seorang wanita berusia 41 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Coolangatta, Australia pada Disember lalu bersama heroin seberat 470 gram.
"Suspek yang menelan dadah terbabit dalam perutnya kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 25 tahun dan denda sebanyak 50,000 Dollar Australia (RM149,382) jika disabitkan kesalahan.
"Sebulan sebelum itu, seorang lelaki Brunei berusia 29 tahun dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh kerajaan China selepas ditahan di Lapangan Terbang Tianjin kerana cuba menyeludup dadah heroin seberat 995 gram," katanya.
Pada Mei tahun lalu, seorang lagi wanita Brunei berusia 29 tahun ditahan di Australia selepas dikesan cuba menyeludup dua kilogram dadah heroin ke negara berkenaan menggunakan bagasi yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah terbabit.
Pada Januari lalu, seorang gadis Brunei berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas dikesan cuba menyeludup dadah seberat 894.05 gram ke Shanghai, China.
Beberapa bulan sebelum itu, seorang lelaki Brunei berusia 26 tahun ditahan di Santiago, Chile selepas didapati cuba menyeludup dadah heroin seberat 5.73 kilogram yang disembunyikan di dalam bagasi miliknya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun, ketika dihubungi memberitahu, sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika tidak lagi berminat dengan gadis tempatan selepas kegiatan mereka berjaya dihalang oleh pihak berkuasa negara ini.
"Polis Di Raja Malaysia (PDRM) memandang serius dan sentiasa bekerjasama dengan lain-lain negara untuk menangani masalah pengedaran dadah.
"Usaha kita menampakkan hasil apabila jumlah kes pengedaran dadah membabitkan gadis tempatan dan asing yang diperdayakan oleh sindiket dadah Afrika dapat dikurangkan," katanya
Sunday, April 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment