KUALA LUMPUR 2 April 2010 - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam lebih daripada 10 kes samun dan menyamar sebagai polis di dua lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang di sini semalam.
Tangkapan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Padang Jawa, Klang dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai suspek dalam beberapa kes samun dan penyamaran sebagai anggota polis.
Sumber polis memberitahu, polis turut merampas sepucuk pistol mainan, gari, empat dan lima bilah pisau serta parang dipercayai milik suspek.
Katanya, polis turut menemui sebuah motosikal jenis Yamaha yang dilaporkan hilang di kawasan Dang Wangi, satu set pemutar skru, alat menghisap dadah dan 12 keping kad SIM telefon bimbit.
"Selain itu, terdapat dua walkie talkie yang turut dirampas. Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes 380 Kanun Keseksaan di Kota Bharu, Kelantan," katanya di sini hari ini.
Tambah sumber itu lagi, ekoran penangkapan suspek, polis menahan seorang lagi rakannya di tempat letak kereta di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
Katanya, suspek yang berusia 34 tahun itu dipercayai bergiat aktif menyamun dan melakukan penyamaran sebagai anggota polis sejak setahun lalu.
"Turut dirampas bersama suspek adalah sebuah alat penimbang elektronik dipercayai digunakan untuk menimbang dadah, dua jam tangan dan satu gunting kecil," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan kedua-dua suspek.
Katanya, kedua-dua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Friday, April 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment