2010/04/28
JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki yang dikerat tiga dan dimasukkan ke dalam tiga beg plastik sampah ditemui di pusat pengumpulan sampah, Kawasan Perindustrian Larkin, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mayat itu ditemui seorang pekerja pusat pengumpulan sampah ketika mengasingkan longgokan sampah, pada jam 11.15 pagi. "Mayat itu dikerat tiga bahagian dan diletakkan di dalam tiga beg plastik sampah. Bahagian kepala ditemui pekerja berkenaan dalam satu beg plastik sampah lalu menghubungi polis untuk memaklumkan perkara itu," katanya ketika dihubungi. Ruslan berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan kemudian menemui bahagian badan dan kaki mangsa di dalam dua beg plastik sampah lain.
Beliau berkata, polis percaya lelaki itu adalah rakyat asing dan identitinya sedang dikenal pasti.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mayat itu dibuang di dalam tong sampah di sebuah pasar raya besar di Tampoi, di sini, sebelum lori pusat pengumpulan sampah itu mengangkutnya bersama-sama sampah lain ke pusat pengumpulan itu.
Sementara itu, pekerja pusat pengumpulan sampah yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar, 40, berkata dia mengesyaki sesuatu di dalam beg plastik sampah itu lalu tergerak hati untuk membukanya.
"Saya terkejut apabila menemui satu kepala lelaki dan terus membuat laporan di Balai Polis Larkin," katanya ketika ditemui. - Bernama
Wednesday, April 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment