Wednesday, April 7, 2010

Tertuduh ubah pengakuan, mahkamah tangguh hukum

KUALA LUMPUR 7 April 2010 - Akibat menyamun dua buah telefon bimbit milik seorang doktor menggunakan parang dan pisau, dua lelaki kini berhadapan dengan kemungkinan meringkuk di penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Ahmad Fikri Husman, 27, dan Azim Mazlan, 21, terpaksa menunggu sehingga 6 Mei ini bagi mengetahui hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka.

Ini kerana peguam bela mereka, Maznah Kamaruddin memohon penangguhan bagi menyediakan rayuan untuk kedua-dua tertuduh yang menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan menyamun tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan tersebut.

Hari ini, Ahmad Fikri, seorang pekerja katering dan Azim, penjaga kedai sepatutnya dibicarakan atas tuduhan tersebut selepas mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 2 April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyamun Othman Zakaria kira-kira pukul 11.02 malam, 23 Mac 2009 di Internet Cafe Powerlink Station, &0, Blok B, Plaza Sinar Apartment, Jalan 8/38D, Taman Sri Segambut di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Mohd. Yusof mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama.

Menurut fakta kes, mangsa berada di tempat kejadian bersama-sama isterinya ketika tiga lelaki secara tiba-tiba menyerbu masuk ke premis tersebut.

Ahmad Fikri kemudian telah mengacukan sebilah pisau ke arah Othman sambil meminta kedua-dua telefon bimbit mangsa sementara tertuduh kedua yang berada di pintu masuk mengacukan pisau ke arah penjaga kafe siber itu.

Selepas menyamun mangsa, kesemua tertuduh melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

No comments:

Post a Comment