Tuesday, April 27, 2010

Geng Tiga Bersaudara tumpas, polis tahan empat ahli

SUBANG JAYA 27 April 2010 - Sebuah kumpulan dikenali 'Geng Tiga Bersaudara' yang aktif menyamun penunggang motosikal dan pejalan kaki pada waktu subuh tumpas dengan tertangkapnya empat ahlinya termasuk dua beradik dalam beberapa serbuan di sekitar Serdang dan Cheras, dekat sini semalam.

Penjenayah yang menjalankan kegiatan dengan menggunakan motosikal Yamaha RXZ itu menjadikan penunggang motosikal lain atau pejalan kaki sebagai sasaran.

Mereka mengambil kesempatan keadaan sunyi dan gelap antara pukul 4 dan 6 pagi untuk melakukan jenayah.

Namun, mereka yang merupakan penagih dadah serta aktif menjalankan kegiatan samun sejak Oktober tahun lalu itu akhirnya tumpas.

Kejayaan diperoleh apabila seorang daripada mereka diberkas polis kira-kira setengah jam selepas menyamun seorang lelaki di Jalan PPS, Taman Perindustrian Bukit Puchong di sini, pukul 5.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, dalam kejadian samun tersebut, mangsa yang menunggang motosikal ke tempat kerja telah ditahan dua lelaki menaiki dua buah motosikal Yamaha RXZ.

Beliau berkata, suspek yang bersenjatakan parang memaksa mangsa menyerahkan dompet dan barang-barang berharga dianggarkan bernilai RM650.

Katanya, selepas menyamun mangsa pertama, suspek pergi ke Jalan SR7/2 Serdang Raya dan merompak seorang lagi penunggang motosikal dan melarikan wang serta barang-barang berharga bernilai RM1,400.

"Pada pukul 6 pagi, sepasukan anggota polis yang menaiki sebuah kereta peronda telah menemui mangsa pertama di tepi jalan lalu memaklumkan kejadian itu.

"Selepas mengetahui suspek menghala ke Bukit Serdang, polis mengejar mereka dan memberkas seorang daripadanya selepas motosikal yang dinaiki terbabas.

"Seorang lagi rakannya dapat melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan, di sini hari ini.

Hasil maklumat daripada suspek pertama yang ditahan, katanya, pada pukul 9 pagi polis telah menyerbu sebuah rumah di Batu 9, Cheras, dan menahan seorang lagi ahli kumpulan penjenayah berkenaan.

Dalam serbuan itu, kata beliau, polis turut merampas tiga bilah parang, sebilah pisau, 13 dompet pelbagai jenama, dua telefon bimbit, tiga kad ATM dan lima buah motosikal Yamaha RXZ.

"Pada pukul 10.30 pagi, polis menyerbu sebuah hotel di Balakong dan berjaya memberkas dua lagi suspek termasuk adik kepada suspek pertama yang ditangkap sebelum itu," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati keempat-empat suspek yang ditahan positif dadah jenis syabu dan masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi.

Beliau berkata, polis kini sedang memburu seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas iaitu abang kepada dua beradik terbabit.

Katanya, keempat-empat suspek berusia antara 20 dan 27 tahun kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment