Thursday, April 8, 2010

Polis tumpas kegiatan sindiket jual dokumen palsu

2010/04/08
MELAKA: Polis berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket membuat, mencetak dan menjual dokumen palsu kepada orang ramai dalam serbuan di sebuah kedai percetakan di Jasin, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt Sum Chang Keong, berkata dokumen palsu itu ialah cukai jalan dan lesen memandu kenderaan, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pas letak kereta Majlis Perbandaran Jasin.

"Dokumen palsu lain ialah sijil perakuan pendaftaran kontraktor bumiputera, penyata bank, sijil persekolahan dan duti setem," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini. Sum berkata, dalam serbuan jam 4 petang itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dan kini dia ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan seperti komputer, mesin pencetak dan telefon bimbit.

"Siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan sejak dua tahun lalu membabitkan ramai pelanggan yang kebanyakannya dari negeri ini," katanya.

Sum berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 468 akta sama kerana memalsukan dokumen dengan niat untuk menipu jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda. - Bernama

No comments:

Post a Comment