Wednesday, April 21, 2010

Ketua ajaran sesat, enam pengikut mula dibicara Jun

2010/04/22
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menetapkan 10 Jun, 30 Jun dan 6 Julai ini untuk membicarakan ketua kumpulan ajaran sesat Abdul Rajab Ahmad, Abdul Rajab Ahmad, 50, yang menghadapi lima pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz menetapkan tarikh berkenaan selepas Abdul Rajab, yang berasal dari Bukit Beruntung, Hulu Selangor, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan. Nassir mengekalkan bon jaminan berjumlah RM5,000 bagi tuduhan pertama dan kedua dan memerintahkan tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap tuduhan ketiga, empat dan lima dengan penjamin berlainan. Sementara itu, enam lagi pengikut Abdul Rajab, iaitu Abdul Hamid Lateh, 43; Hakimah Abu Samah, 45; Fazilah Md Saleh, 37; Rodiah Yahya, 66; Rohayu Abdul Hamid, 37, dan Amirul Syafiq Rushdan Abdul Hamid, 17, dituduh mengikut Seksyen 4(1) dan Subseksyen 43(b) akta yang sama.

Mereka dituduh mengamalkan zikir yang bercanggah dengan hukum syarak apabila menambah nama ‘Syeikh Qadir al-Jailani Waliallahu' di akhir lafaz selawat dan bersubahat dengan Abdul Rajab membuat pernyataan palsu yang berlawanan dengan ajaran Islam.

Nassir menetapkan 28 Jun dan 7 Julai tarikh perbicaraan keenam-enam mereka.
Kecuali Amirul Syafiq yang dibebaskan dengan jaminan RM2,000, yang lain dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM3,000.
Bagaimanapun, semua tertuduh gagal membayar wang ikat jamin dan ditahan di lokap sementara menunggu penjamin.

Hakim juga memerintahkan semua tertuduh mendapatkan peguam syarie bagi memastikan kelancaran proses perbicaraan kelak.

Terdahulu ketika pertuduhan dibacakan kepadanya, Abdul Rajab yang memakai kemeja-T hijau dan seluar hitam menyatakan dia mahu memberikan jawapan bertulis terhadap semua pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Putrajaya, Mohd Hafiz Idris manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, pendakwa memohon penangguhan sebutan semula terhadap tiga tertuduh iaitu Norazreen Abdul Rejab, 23; Norsuhadha Abdul Rejab, 19, dan Nor Azua Mohd Yusof, 44, kerana ingin memberi tumpuan kepada kes ketua kumpulan ajaran sesat itu.

Mengikut fakta kes, Abdul Rajab mendakwa kubur di Presint 20, Putrajaya dijaga oleh roh Asri Rabbani (penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani) dan Asri menceritakan kepadanya bahawa banyak ular besar di kubur Putrajaya.

Semua tertuduh ditahan dalam satu serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di sebuah apartment di Presint 17, di sini, pada 10 Februari lalu.
Tuduhan terhadap Ahmad Rajab.

1. Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 kerana membuat pernyataan palsu yang bertentangan dengan ajaran Islam antara lain boleh berkomunikasi secara terus dengan Nabi Muhammad dan nabi-nabi lain, dapat melihat Nabi Sulaiman dan ada bersama mereka dan sedang tersenyum, mempunyai lesung pipit, bermuka cerah dan berbadan tegap serta mendakwa bahawa Allah telah menurunkan 20 bilion pembantu dan Nabi Muhammad telah memberinya 550 trilion pembantu, tetapi beliau hanya mengambil 20 trilion sahaja terlebih dahulu.

2. Seksyen 6(b) akta sama, mengamalkan zikir yang bercanggah dengan hukum syarak apabila menambahkan nama ‘Syeikh Qadir al-Jailani Waliallahu‘ di akhir lafaz selawat.

3. Seksyen 6(a), akta sama, membuat penyataan palsu bahawa nabi, rasul memanggil beliau dengan nama kekasih Allah.

4. Seksyen 11(1) akta sama, didakwa mengajar tanpa tauliah pada 5 Januari lalu pada jam 2 pagi hingga 3.30 pagi di sebuah rumah di Presint 17, Putrajaya.

5. Seksyen 6(b) mendakwa beliau ditabal oleh Rasulullah sebagai pemimpin umat di seluruh dunia dan Nabi Muhammad telah memberi tempoh kepadanya untuk menyiapkan dokumen ajaran yang dikurniakan oleh Nabi Muhammad untuk dihantar kepada Jakim, Perdana Menteri dan Agong

No comments:

Post a Comment