Wednesday, April 7, 2010

Ibu, anak jadikan rumah pusat dadah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com
2010/04/08
Polis rampas heroin, ganja bernilai RM128,883

KUANTAN: Tindakan licik seorang ibu berusia 65 tahun bersama anak lelakinya yang menjadikan rumah mereka sebagai pusat pengedaran dadah sejak setahun lalu, terbongkar apabila polis menemui sejumlah heroin dan ganja bernilai kira-kira RM128,883 dalam serbuan di Jalan Makbar, di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan hasil maklumat awam kira-kira jam 10.30 malam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menangkap warga emas dan anak lelakinya berusia 38 tahun terbabit sebelum menemui dadah yang disembunyikan dalam bilik dan mesin pemotong rumput di rumah berkenaan. Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata pemeriksaan menemui dadah jenis heroin seberat 1,375.5 gram dan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 381.3 gram yang masing-masing diisi dalam kotak dan plastik lutsinar.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati heroin yang dirampas bernilai RM116,173 manakala ganja terbabit bernilai kira-kira RM12,710 dan dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran.

“Polis turut menyita harta milik suspek termasuk barang kemas, wang tunai, kenderaan dan wang simpanan dalam bank dengan kesemuanya berjumlah kira-kira RM117,800.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini mereka direman selama enam hari bermula kelmarin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di IPK, di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, Sharifuddin berkata, seorang pengedar dadah wanita berusia 25 tahun ditahan ketika menunggang motosikal di persimpangan Lorong Alor Akar 2, di sini, Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam beg sandang dibawa suspek menemui 73 paket lutsinar berisi heroin dengan berat kasar sejumlah 154 gram.

“Harga pasaran dadah yang dirampas bernilai RM18,250 dan siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif sejak tiga bulan lalu.

“Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan,” katanya

No comments:

Post a Comment