Monday, April 19, 2010

Tiga termasuk pasangan adik beradik didakwa merompak

19/04/2010 8:34pm

JOHOR BAHRU 19 April 2010 - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan merompak secara berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam, bulan lepas.

Mohamad Fadzil Jamaludin, 26, Mohd Hedayat Salleh, 29, dan Mohamad Rizuan Salleh, 32, didakwa merompak wang tunai RM550 dan sebuah telefon bimbit Nokia serta Samsung bernilai RM1,500 milik Liew Yun Choy, 42, selain menyamar sebagai polis ketika melakukan perbuatan tersebut terhadap lelaki berkenaan.

Mohamad Fadzil serta pasangan adik beradik, Mohd. Hedayat dan Mohamad Rizuan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Jalan Beladau 9, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, kira-kira pukul 7.30 malam, 24 Mac lepas.

Ketiga-tiga mereka turut didakwa merompak sebuah telefon bimbit Nokia dan wang tunai RM1,800 milik Wong Woei Jian, 28, serta menyamar sebagai polis di tepi Jalan Kebudayaan 16, Taman Universiti, Skudai, kira-kira pukul 9 malam, 16 Mac lepas.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan Hakim Aliman Musri menetapkan wang jaminan RM16,000 setiap seorang bagi kesemua tuduhan serta 6 Julai depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

No comments:

Post a Comment