Thursday, April 8, 2010

Lelaki hasilkan ribuan dokumen palsu ditahan

MELAKA 8 April 2010 - Hanya mengenakan caj 50 peratus lebih murah daripada harga asal, seorang lelaki mengaut keuntungan lumayan apabila berjaya menghasilkan ribuan dokumen palsu untuk dijual kepada orang ramai di negeri ini.

Bersembunyi di sebalik kedai percetakan, lelaki berusia 46 tahun itu juga menjalankan aktiviti menghasilkan dokumen palsu sejak dua tahun lalu tanpa disedari pihak berkuasa.

Namun, kegiatan suspek di sebuah premis di Taman Bahagia di sini akhirnya terbongkar setelah diserbu sepasukan polis, kira-kira pukul 4 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supritendan Sum Chang Keong berkata, dalam serbuan itu, polis mendapati hampir kesemua dokumen yang dirampas adalah palsu.

Menurutnya, hampir 99 peratus dokumen tersebut menyerupai dokumen tulen termasuklah pemalsuan nombor sirinya.

"Pihak kami menerima beberapa aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan suspek dan hasil intipan beberapa anggota operasi, kami berjaya menangkap suspek.

"Siasatan mendapati, kesemua proses membuat dokumen palsu berkenaan dilakukan oleh suspek dan tidak menolak kemungkinan, suspek dibantu oleh pihak ketiga," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, hasil serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas beberapa helaian dokumen palsu seperti cukai jalan, lesen memandu kenderaan, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sijil perakuan pendaftaran kontraktor bumiputera, penyata bank dan sijil-sijil persekolahan.

Menurutnya, polis juga turut merampas sebuah komputer dan mesin cetak yang digunakan menyimpan data untuk membuat dokumen palsu.

Tambah beliau, polis percaya kebanyakan pelanggan suspek adalah pelanggan tetap yang disifatkan 'sudah biasa' berurusan dengan suspek.

"Siasatan awal juga mendapati, kebanyakan pelanggan suspek terdiri daripada rakyat di negeri ini yang memohon pelbagai dokumen terutama cukai jalan dan pembaharuan lesen," katanya.

Ujar Chang Keong, kegiatan itu sebelum ini sukar dihidu disebabkan premisnya berselindung di sebalik kedai cetakan.

Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari bermula kelmarin dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda.

No comments:

Post a Comment