Sunday, April 18, 2010

10 geng samseng masih mengganas

Oleh Nor Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my
2010/04/19
Kumpulan jadikan pendatang orang suruhan

KUALA LUMPUR: Polis mengesan sekurang-kurangnya 10 kumpulan samseng dan kongsi gelap masih bermaharajalela di bandar raya ini, malah turut diklasifikasikan sebagai berbahaya kerana sanggup bertindak ganas jika berasa terancam.

Difahamkan, kumpulan berkenaan amat dikehendaki kerana terbabit pelbagai kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah, sindiket pelacuran, perjudian haram, ceti haram dan peras ugut, selain kes rompakan serta samun bersenjata. Antaranya Geng Tiger, Kumpulan Aman, Hartamas, AA0, Modesto, Ah Tok, Ah Meng dan Kumpulan Netagi yang dikenal pasti hasil maklumat risikan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur sebelum ini. Sumber memberitahu Berita Harian, kumpulan itu dipercayai turut membuka keanggotaannya kepada pendatang asing untuk dijadikan orang suruhan melakukan jenayah.

Menurut sumber itu, walaupun polis berjaya menumpaskan beberapa kumpulan, ada yang menghidupkan kembali kumpulan oleh saki baki ahlinya.

“Hasil risikan mendapati, kumpulan berkenaan dikendalikan secara profesional, malah mempunyai struktur pentadbiran dan kepemimpinan tersendiri. Sebelum ahli baru diambil atau diterima, mereka mengadakan upacara khas pentauliahan.

“Turut dianjurkan majlis angkat sumpah dan ikrar taat setia kepada pemimpin. “Polis menganggap mereka bukan hanya sebagai penjenayah biasa, sebaliknya lebih kepada organisasi terancang,” katanya.

Sumber berkata, kebanyakan kumpulan memiliki senjata api malah sanggup menggunakannya jika diancam, selain menunjukkan kuasa dan mempertahankan kawasan masing-masing.

Dalam operasi sebelum ini, polis merampas pelbagai pistol milik samseng itu termasuk Revolver, Glock, Smith & Wesson dan Pietro Beretta Gardone bersama peluru hidup termasuk parang daripada mereka

No comments:

Post a Comment