Wednesday, April 7, 2010

Lelaki mahu jumpa anak maut dibelasah menantu

Oleh Nor Hatina Shuib
bhnews@bharian.com.my
2010/04/08
Polis tahan dua suspek kes tumbuk mangsa sehingga pengsan

SHAH ALAM: Hajat seorang bapa untuk menemui anak perempuannya tidak kesampaian apabila maut dibelasah oleh menantunya di Subang Jaya dekat sini, Isnin lalu.
Pekerja kilang, Mohd Nasir Abdullah, 54, yang datang dari Pulau Pinang bersama isteri dan seorang lagi anak perempuannya dikatakan ditumbuk di bahagian badan oleh menantunya itu sehingga pengsan sebelum disahkan meninggal dunia sebaik dibawa ke sebuah klinik berhampiran tempat kejadian. Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang sudah hampir setahun tidak berjumpa anak perempuannya yang berusia awal 20-an itu pergi ke gerai rojak milik menantunya di Subang Jaya di sini.

“Sebaik sampai di gerai rojak milik suspek berusia 29 tahun itu, mangsa tidak dibenarkan berjumpa dengan anak perempuannya.

“Pergelutan tercetus sebaik mangsa menarik tangan anak perempuannya itu sebelum mangsa kemudian dipukul sehingga pengsan,” katanya di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika kejadian bapa suspek berusia 52 tahun yang berada di tempat kejadian, turut campur tangan.
“Mangsa yang pengsan kemudian dibawa ke sebuah klinik berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Omar berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu menahan suspek dan ayahnya untuk membantu siasatan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bedah siasat juga dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan sakit jantung,” katanya.

No comments:

Post a Comment