Wednesday, July 7, 2010

Pegawai kerajaan tidak sedar rumah dimasuki penyamun

08/07/2010 1:40pm



Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 8 Julai - Akibat `tidur mati,' seorang pegawai kerajaan tidak menyedari rumahnya dimasuki penyamun sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM35,000 di Lorong Galing, Jalan Haji Ahmad di sini awal pagi ini.

Kejadian itu hanya disedari mangsa yang berusia 56 tahun selepas dia bangun daripada tidur pada kira-kira pukul 7 pagi.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mangsa percaya rumahnya dimasuki pencuri antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi ketika sedang nyenyak tidur.

Menurut beliau, mangsa yang baru bangun tidur terpinga-pinga apabila mendapati pintu rumahnya terbuka luas.

“Hasil pemeriksaan, mangsa mendapati televisyen LCD berukuran 46 inci, sebuah komputer riba, empat utas jam tangan berjenama, telefon bimbit dan barang kemas lesap,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Menurut Noor Asyikin, ekoran kejadian terbabit mangsa mengalami kerugian keseluruhan bernilai kira-kira RM35,000 termasuk wang tunai sebanyak RM700.

Ketika kejadian, tambahnya, pegawai kerajaan terbabit tinggal berseorangan kerana isteri dan anak-anaknya tiada di rumah.

“Kita percaya suspek yang terlibat dalam kejadian ini lebih daripada seorang,'' katanya.

Tambahnya, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment