Wednesday, July 14, 2010

4 perompak mati ditembak polis

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my



T. Narenasegaran menunjukkan sebahagian daripada barangan samun yang ditemui semula dalam kereta yang digunakan oleh empat penyamun yang ditembak mati oleh polis Temerloh, Pahang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



TEMERLOH 14 Julai - Tindakan penjenayah yang semakin berani melakukan kegiatan pecah rumah dan samun, mengundang padah apabila polis kini meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi berhampiran Kawasan Perindustrian Songsang, di sini awal pagi ini, empat penjenayah warga asing yang memecah masuk rumah seorang penduduk di Bangau Tanjong, ditembak mati kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Penjenayah yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam 20 kes pecah rumah dan samun di beberapa buah daerah di Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, sebaik sahaja menerima laporan daripada mangsa setengah jam selepas disamun, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh terus menjalankan operasi memburu perompak berkenaan.

Katanya, polis yang mengadakan operasi memburu penjenayah tersebut terserempak dengan kereta jenis Honda Civic dalam keadaan mencurigakan, kira-kira lima kilometer dari lokasi rumah mangsa.

"Polis kemudian memberi arahan kepada pemandu kereta itu supaya memberhentikan kenderaan, namun tidak diendahkan, sebaliknya ia terus memecut laju.

"Pasukan polis yang mengejar kereta tersebut berjaya memintasnya berhampiran sebuah kilang papan di Kawasan Perindustrian Songsang," katanya pada sidang akhbar di IPD Temerloh di sini hari ini.

Menurutnya, anggota polis kemudian mendapati empat lelaki berada dalam kenderaan tersebut. Tiba-tiba, kesemua mereka keluar dari kenderaan dan cuba menyerang polis dengan mengunakan parang.

Berikutan itu, katanya, polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri sehingga menyebabkan keempat-empat suspek mati di tempat kejadian.

Beliau menambah, tiada pengenalan diri ditemui pada mayat kesemua suspek, namun polis menemui tiga unit komputer riba, 10 telefon bimbit, barang kemas seperti cincin dan gelang, tujuh utas jam tangan dan dua kamera digital dipercayai dicuri.

"Polis turut menemui senjata dan peralatan yang digunakan untuk memecah rumah antaranya empat bilah parang, pemutar skru, tiga pemotong besi, empat topeng muka dan sebilah keris.

"Kereta yang dinaiki empat suspek disahkan dicuri di Klang, Selangor pada 23 April 2008, milik seorang wanita yang beralamat di Kedah," katanya.

Ini merupakan kejayaan ketiga polis dalam tempoh tidak sampai sebulan menembak mati penjenayah yang terlibat dalam jenayah pecah rumah.

Pada 5 Julai lalu, empat daripada lima penjenayah 'Geng Tong Gas' mati ditembak selepas memecah masuk rumah Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Lima hari kemudian, tiga penjenayah 'Geng 66' mati ditembak ketika cuba memecah masuk rumah seorang peniaga di Kampung Tenai, Air Gelugor, Gemencheh.

Menurut Narenasegaran, mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh penjawat awam.

Beliau berkata, dengan tumpasnya kumpulan ini, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes samun dan pecah rumah yang berlaku dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Antara lokasi sasaran penjenayah ini sekitar Temerloh, Maran, Bentong, Jerantut, Bera dan pekan Raub.

No comments:

Post a Comment