Friday, July 9, 2010

Tujuh askar dipenjara tujuh tahun

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Julai 2010 - Gara-gara tidak pandai melipat baju, seorang prebet yang ditahan atas kesalahan tidak hadir bertugas, telah dipukul, ditumbuk, diterajang, dipijak sehingga terkencing dan dilastik kemaluannya sehingga cedera sebelum meninggal dunia keesokan harinya.

Perbuatan kejam itu dilakukan terhadap Mohd. Shahrizal Mohd. Shaffie, 27, oleh tujuh prebet Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) lain yang turut ditahan dalam sel yang sama antara pukul 11 malam, 5 April dan 1 petang, 6 April 2008 di Bilik Tahanan Pasukan, Unit 1 RAMD, Kem Tentera Sungai Besi, Cheras di sini.

Mereka ialah Mahazir Hamad, Mohd. Azman Jabril dan Mazlan Awang Ngah masing-masing berusia 26 tahun serta Mohd. Bukhari Shawal, 25, bersama Shahrin Mat Rabu, Mohd. Khairi Abdullah @ Mohd. Khalrie Abdullah dan Syabramallisi Shahidan, kesemua berumur 28 tahun.

Hari ini tujuh prebet terbabit menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan itu apabila mereka dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian rakan mereka.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak ketika menjatuhkan hukuman menegaskan bahawa mahkamah tidak dapat menerima sebarang alasan yang diberikan kerana mendera telah menyebabkan nyawa seorang pemuda tidak berdosa melayang.

Beliau memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu seminggu selepas kematian mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret pada 22 April 2008 selepas ditahan reman atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh mengemukakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fakta kes menyebut, para tertuduh dan mangsa telah mengadakan upacara yang dinamakan 'penyerahan tugas ketua chief khadam' dan selepas ia selesai, mangsa diminta melakukan senaman sebelum dipukul, ditumbuk dan diterajang pada pukul 11 malam, 5 April 2008 dan penderaan berlarutan.

Kemaluan mangsa turut dilastik menggunakan getah sementara salah seorang daripada tertuduh yang memakai kasut but telah memijak bahagian belakang mangsa sehingga terkencing.

Perbuatan itu hanya dihentikan setelah ditegur oleh seorang pengawal dan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Hakim Mohd Sofian sebelum menjatuhkan hukuman berkata, RAMD mempunyai sejarah yang gemilang dan merupakan rejimen pertama sebelum Perang Dunia Kedua dan mereka sepatutnya merasa bangga.

No comments:

Post a Comment