Thursday, July 29, 2010

3 lelaki dituduh bunuh pengurus kafe

PETALING JAYA 28 Julai 2010 - Seorang pekerja syarikat telekomunikasi dan dua lelaki warga Sri Lanka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pengurus kafe, pertengahan bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada E. Mahendran Pilly, 32; S. Jeyarupan, 27; dan D. Sivaingkaran, 22, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat bersama membunuh A. Anson Hemathilaka, 29, antara pukul 3 petang, 14 Julai lalu dan pukul 2 pagi keesokan harinya.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen dan Nur Aifaa Chee Abdullah, manakala Mahendran diwakili peguam bela, Puan Sri N. Saraswathy.

Kedua-dua lelaki warga asing itu tidak diwakili peguam bela.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam pemerhati, N. Ganesarajah bagi pihak keluarga mangsa.

Majistret Aishah Huriah Arshad menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Menurut laporan media sebelum ini, mayat Hemathilaka ditemui dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya diikat serta lehernya dililit pita pelekat.

Mangsa yang merupakan pengurus Dome Cafe di pusat beli-belah Subang Parade dekat sini dikatakan cuba membantu kedua-dua lelaki warga asing itu untuk memperbaharui visa masing-masing.

No comments:

Post a Comment