Tuesday, July 20, 2010

Jual ganja dalam kedai keranda

KLANG 20 Julai 2010 – Kegiatan mengedar ganja dengan berselindung di sebalik perniagaan keranda akhirnya tumpas apabila polis menyerbu premis itu di Taman Sentosa di sini awal pagi Jumaat lalu.

Dalam serbuan pukul 2.30 pagi, polis menemui enam ketulan mampat ganja yang kesemuanya seberat 6.92 kilogram bernilai kira-kira RM21,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kesemua ganja ditemui dalam ruang pejabat dan di beberapa tempat dalam kedai keranda itu, dipercayai sedia untuk diedarkan kepada pembeli.

“Dalam serbuan, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 44 tahun yang sedang tidur di premis itu bagi membantu siasatan.

“Salah seorang daripada suspek merupakan pemilik premis berkenaan dan memiliki satu rekod jenayah berkaitan dengan pengedaran dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, kegiatan pengedaran dadah di kedai keranda itu dipercayai bermula sejak tiga minggu lalu manakala bekalan ganja itu diperoleh daripada negara jiran.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

No comments:

Post a Comment