Thursday, July 8, 2010

Pengutip hutang mati ditembak ketika tunggang motosikal

2010/07/08
RAWANG: Seorang pengutip hutang mati ditembak oleh seorang lelaki ketika beliau sedang menunggang motosikal di Jalan Garing Utama di sini kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah, berkata S Ramesh, 38, mati di tempat kejadian akibat dua das tembakan yang menembusi bahagian dadanya. "Kami percaya suspek yang menaiki motosikal Honda EX-5 itu mengekori Ramesh dari rumah sebelum menembaknya di tempat kejadian. Suspek kemudian melarikan diri menghala arah Rawang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan pistol automatik .9mm dan dua kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian.

Omar berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan balas dendam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan kes, yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mayat Ramesh dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment