Wednesday, July 7, 2010

Pemandu lori dipenjara miliki wang kertas palsu

08/07/2010 1:36pm


KUALA LUMPUR 8 Julai 2010 - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 376 keping wang kertas palsu bernilai RM25,250 di rumah sewanya,

tiga tahun lalu.


Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Ng Kok Yu, 40, yang hukuman terhadapnya bermula hari ini.

"Mahkamah telah mengambil kira hujahan pihak pendakwaan bahawa kesalahan tertuduh adalah sangat serius, bagaimanapun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman belas kasihan berdasarkan mitigasi yang kukuh dari pembelaan," kata Komathy ketika menjatuhkan hukuman.


Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt memohon agar Kok Yu dikenakan hukuman berat di atas kesalahannya itu.

Dalam rayuan yang dikemukakan oleh peguam bela Kok Yu, Datuk N. Sivanathan berkata, anak guamnya itu perlu menyara keluarga termasuk anak kembarnya yang masih kecil selepas berpisah dengan isterinya.


Bapa tunggal itu didakwa memiliki 247 keping wang kertas RM50 dan 129 keping wang kertas RM100 yang dia ketahui adalah palsu dan dengan niat menggunakannya sebagai tulen.


Kok Yu didakwa melakukan kesalahan itu di Blok B2, Pangsapuri Casa Magna, Jalan Prima 10, Metro Prima Batu 7, Jalan Kepong pada pukul 11.50 malam, 28 Mei 2007.


Dia dibicarakan mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, hasil pemeriksaan polis mendapati tertuduh telah menyimpan kesemua wang palsu itu di dalam laci almari di rumah sewanya itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment