Friday, July 9, 2010

Kedai emas rugi RM700,000

Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/07/10
Perompak lepas tembakan, ambil 3 minit larikan barang kemas

IPOH: Sekumpulan enam perompak bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa tukul besi memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Pertama, dekat sini sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM700,000 dalam rompakan nekad tiga minit, pagi semalam. Pada insiden jam 9.50 pagi itu, perompak melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum melarikan diri. Dalam kejadian itu, perompak yang menaiki dua kereta meluru ke kedai emas terbabit sebelum seorang daripada mereka yang bertopeng, mengacukan senjata ke arah pengawal keselamatan.

Ketika itu, pengawal keselamatan terbabit bersama tiga pekerja sibuk membuka pintu kedai untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata perompak bersenjatakan pistol merampas senapang laras jenis Steven milik pengawal keselamatan berusia 65 tahun itu sambil mengugut mangsa dan tiga pekerja lain supaya jangan bising.

“Pada masa sama, tiga rakan perompak yang membawa tukul besi memecahkan cermin pameran untuk mengambil barangan kemas sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira.
“Perompak hanya mengambil masa tiga minit untuk melakukan jenayah itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azisman berkata, polis kini mengumpul maklumat saksi iaitu pengawal keselamatan dan pekerja kedai emas terbabit untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, pengawal keselamatan terbabit, Fauzi Kongsor, 65, berkata beliau terpaksa menyerahkan senapang kerana perompak mengacukan pistol ke arahnya dan bimbang dicederakan jika tidak menurut kehendak itu.

“Oleh kerana terlalu takut dengan tindakan mereka (perompak), saya dan tiga pekerja lain hanya mengikut arahan mereka dan berdiam diri.

“Ketika melarikan diri, perompak melepaskan satu das tembakan ke udara,” katanya.

Fauzi berkata, ia adalah kejadian rompakan pertama yang berlaku di kedai emas itu sejak beliau mula bertugas tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment