BESUT 25 Julai 2010 - Meskipun pernah ditahan bersama 105 kilogram daun ketum sebulan lalu, seorang lelaki nampaknya masih tidak serik-serik melakukan perbuatan itu.
Kelmarin, dia bersama seorang rakannya sekali lagi ditahan oleh polis di Kampung Renek dekat sini bersama 100 kilogram bahan yang sama, dianggarkan bernilai RM25,000.
Lelaki itu yang berusia 31 tahun bersama rakannya berumur 47 tahun ditahan pukul 12 tengah hari ketika memandu sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai disewa.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Noor Zainy Md. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan lelaki itu dan telah mengekori kenderaan dinaikinya.
Katanya, usaha mengekori kenderaan lelaki itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang diketuai oleh Inspektor Rumaizur Rahman Ab. Sattar.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian cuba meloloskan diri tetapi kenderaan mereka yang cuba mengundur terlanggar kereta peronda polis.
Berikutan itu, katanya, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan, pihaknya menemui lapan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum di dalam bonet dan tempat duduk penumpang kereta itu.
"Hasil siasatan mendapati, suspek yang berusia 31 tahun itu pernah ditangkap sebelum ini atas kesalahan yang sama dan kedua-dua mereka bekerja sebagai buruh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut semalam.
Menurut Noor Zainy, suspek dipercayai membawa bekalan daun ketum itu dari Perak untuk diedarkan kepada pengedar ketum di sekitar daerah ini dan kawasan berdekatan.
"Keseluruhan daun ketum itu mampu mencecah RM25,000 berdasarkan harga pasaran RM25 sekilogram," ujarnya.
Kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 30(B) Akta Racun 1952 yang jika disabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sunday, July 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment