Thursday, July 15, 2010

Balak bernilai RM250,000 dirampas

LENGGONG 15 Julai 2010 - Jabatan Perhutanan Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mematahkan kegiatan pembalakan haram setelah merampas 800 batang balak bernilai lebih RM250,000 dalam serbuan di Hutan Simpan Bintang Hijau di sini, awal pagi ini.

Kayu-kayu balak termasuk yang telah siap digergaji ditemui di lapan lokasi berbeza di dalam hutan tersebut.

Turut dirampas, sebuah jentolak, sebuah jip dan mesin pemotong.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi yang bermula pukul 5 pagi ini dan berakhir kira-kira enam jam kemudian.

Antara kayu balak yang dirampas adalah jenis cengal, meranti, merbau dan balau.

Cengal merupakan spesies termahal di pasaran dengan harga RM8,000 satu tan manakala kayu balak jenis lain berharga antara RM4,500 hingga RM8,000.

Jurucakap Jabatan Perhutanan negeri berkata, seramai 21 pegawai jabatan berkenaan dan SPRM dari Putrajaya terlibat dalam operasi tersebut.

"Lokasi pembalakan haram ini membabitkan kawasan tadahan air," katanya kepada pemberita yang turut menyertai operasi itu di sini.

Berdasarkan kesan-kesan yang ditinggalkan sindiket pembalakan itu, katanya, kegiatan tersebut dipercayai bermula sejak beberapa minggu lalu.

"Melihat keadaan kawasan hutan yang ditebang, dianggarkan kayu balak bernilai kira-kira RM500,000 telah dibawa keluar dari hutan simpan ini," katanya.

Beliau memberitahu, tindakan sindiket pembalakan haram membawa keluar kayu balak yang siap digergaji adalah sebagai taktik untuk mengabui mata pihak berkuasa berikutan banyak operasi dijalankan.

No comments:

Post a Comment