Thursday, July 8, 2010

Pengedar dadah warga Thailand ke tali gantung

ABDULLAH Saofi (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati sementara isterinya, Yanidah Maerohkachi (kiri) dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 8 Julai - Seorang peniaga kedai makan warga Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar methamphetamine seberat 76.39 gram, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Abdullah Saofi, 46, yang berasal dari Narathiwat, Thailand di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau bagaimanapun membebaskan isteri tertuduh, Yanidah Maerohkachi, 41, yang didakwa bersubahat dengan suaminya melakukan kesalahan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdullah didakwa mengedar methampethamine di stesen minyak Caltex Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, kira-kira pukul 7.10 malam, 15 Disember 2006.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Abdullah diwakili oleh peguam, Latifah Ariffin manakala Mohd. Azmi Tan Abdullah mewakili isterinya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin

No comments:

Post a Comment