Thursday, July 8, 2010

6 lelaki bertopeng rompak kedai emas di Ipoh

2010/07/08
IPOH: Enam lelaki bertopeng, seorang daripadanya bersenjatakan sepucuk pistol mengambil masa kira-kira lima minit merompak barang kemas bernilai ratusan ribu ringgit dari sebuah kedai emas di Taman Pertama di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias, berkata perompak yang semuanya memakai jaket memasuki kedai itu sejurus selepas ia dibuka pada 9.45 pagi. "Kumpulan itu tiba dengan dua kereta dan terus meluru masuk sambil seorang daripadanya mengacu pistol," katanya ketika dihubungi di sini. Azisman berkata, kumpulan itu terus merampas sepucuk senapang daripada pengawal keselamatan kedai emas itu sebelum memecahkan kaca pameran dengan tukul besi dan memasukkan barang kemas ke dalam karung.

Beliau berkata, sebelum beredar, perompak yang bersenjata melepaskan satu das tembakan. Tiga pekerja dan pengawal keselamatan yang ketika kejadian berada di dalam kedai itu tidak cedera.

"Kumpulan itu melarikan diri dengan dua kereta Proton," katanya.

Azisman berkata, polis menemui satu kelongsong peluru dalam kedai berkenaan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui nombor telefon 05-2415150 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment