Wednesday, July 14, 2010

Dua bayi, kanak-kanak diselamatkan

KUCHING 14 Julai 2010 - Kurang 48 jam selepas polis menyelamatkan seorang bayi perempuan daripada dijual di kawasan Bandar Baru Batu Kawa, polis hari ini berjaya menyelamatkan dua lagi bayi dan seorang kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam satu serbuan di sebuah rumah di sini pagi ini.

Dalam serbuan pukul 10 pagi, polis turut menahan dua pasangan yang berada di kediaman tersebut bersama seorang bayi perempuan berusia 27 hari, bayi lelaki berusia tujuh bulan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 11 bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamed berkata, hasil maklumat daripada tiga suspek yang ditahan berhubung penemuan bayi berusia 23 hari malam kelmarin, polis bertindak menyerbu rumah itu sebelum menemui bayi dan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, hasil soal siasat, kedua-dua pasangan berkenaan mendakwa dua bayi dan seorang kanak-kanak itu merupakan anak mereka kerana mempunyai dokumen kelahiran masing-masing.

"Berikutan itu, polis akan melakukan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) ke atas semua tujuh suspek termasuk seorang wanita warga asing yang ditahan setakat ini bagi mengesahkan status bayi berkenaan.

"Bagaimanapun, kita masih belum dapat membuktikan sama ada tujuh suspek ini dalam satu sindiket atau bertindak sebagai orang yang menerima atau orang yang menjual. Kita masih menyiasat mengenai kemungkinan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Malam kelmarin, polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita warga asing setelah dipercayai cuba menjual seorang bayi perempuan berusia 23 hari di Bandar Baru Batu Kawa.

Huzir dalam pada itu memberitahu, setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan daripada tiga suspek yang ditahan sebelum ini termasuk seorang daripadanya isteri ahli perniagaan berpangkat datuk bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, kesemua bayi dan kanak-kanak yang dalam keadaan sihat kini dirawat di Hospital Umum Sarawak sebelum diletakkan di bawah penjagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh sementara waktu.

Buat masa ini, polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, kata Huzir

No comments:

Post a Comment