Friday, July 16, 2010

Remaja sorok 150 paket dadah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/07/17


YAHYA (kiri) menunjukkan 150 paket dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Pekan semalam.Sembunyi heroin dalam plastik hitam di dapur rumah

PEKAN: Rahsia seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mampu hidup mewah dengan menyewa sebuah rumah teres seorang diri di Taman Shah Bandar, Peramu, di sini akhirnya terbongkar apabila ditahan sepasukan anggota polis kerana dipercayai mengedar dadah, Rabu lalu. Remaja terbabit ditahan pada jam 1 tengah hari kira-kira 20 meter dari rumah sewanya sebelum pemeriksaan di badannya menjumpai sepaket plastik di poket seluar dipercayai dadah jenis heroin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata suspek kemudian dibawa ke rumahnya dan pihaknya yang melakukan pemeriksaan lanjut menemui 150 paket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 280 gram.

Beliau berkata, dadah terbabit ditemui dalam satu plastik hitam dan disorokkan di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Dadah seberat 280 gram terbabit dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000 dan ditemui mesin pembungkus dan alat timbang elektronik di rumahnya.

“Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Kuala Lumpur baru menyewa di sini lebih sebulan dan mampu menyewa rumah sekitar RM400 tanpa mempunyai pekerjaan tetap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) di sini, semalam.
Yahaya berkata, pihaknya mendapati suspek mendakwa dadah terbabit dibawa oleh rakannya dari negeri jiran bertujuan mencari pasaran baru di bandar ini.

“Difahamkan, dadah terbabit dijual RM100 bagi setiap paket dan polis akan melakukan pemantauan di kawasan berkenaan secara berterusan bagi mengesan sama ada wujud sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu suspek kini direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment