SHAH ALAM 21 Julai 2010 – Polis berjaya menyelesaikan empat kes bunuh di negeri ini dengan tertangkapnya beberapa suspek baru-baru ini.
Kes-kes tersebut melibatkan penemuan mayat seorang gadis Myanmar yang ditemui di Hulu Yam, mayat yang dipotong kepala di Hulu Selangor dan masing-masing mayat lelaki dicampak ke dalam sungai dan di bawah jambatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kes gadis Myanmar itu selesai apabila dua suspek diberkas selain turut melengkapkan siasatan 15 kes samun kafe siber.
‘‘Siasatan mayat lelaki warga India yang dirantai dan dicampak ke Sungai Klang juga berakhir dengan tiga suspek terlibat berjaya diberkas.
‘‘Kita percaya kes ini berpunca daripada rasa marah suspek setelah mangsa gagal menyiapkan kerja membaharui pasport seperti dijanjikan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Khalid menambah, siasatan terhadap seorang warga Bangladesh yang ditemui mati dengan kepala dipotong di Hulu Selangor juga dianggap selesai apabila dua suspek warga Indonesia yang juga rakan sekerja mangsa diberkas.
Ujarnya, kes itu turut bermotifkan marah kerana mangsa kerap kali membuli kedua-dua suspek tersebut.
Menurutnya, polis juga berjaya menyelesaikan kes seorang lelaki tempatan yang dibunuh dan mayatnya dicampak di bawah jambatan di Sungai Way, Petaling Jaya baru-baru ini.
‘‘Kita berjaya memberkas lima suspek dan kes itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di tempat kerja,” kata beliau.
Wednesday, July 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment