Thursday, July 8, 2010

Geng Ah Guan tumpas, 20 kes pecah rumah selesai

KUALA LUMPUR 8 Julai 2010 - Setelah hampir setahun bermaharajalela melakukan jenayah pecah rumah dan samun berkumpulan, Geng Ah Guan akhirnya tumpas di tangan polis dengan tertangkapnya 13 ahlinya, dalam operasi sejak 30 Jun lalu sehingga semalam.

Kesemua suspek bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 20 kes pecah rumah dan samun berkumpulan di daerah Cheras dan Lembah Klang.

Suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, lima wanita warga China dan seorang wanita tempatan berusia 27 hingga 40 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan seorang suspek wanita di Kondominium Sri Emas, Ampang, 30 Jun lalu.

Katanya, suspek ditahan selepas dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kerana menggunakan kad kredit milik orang lain.

"Hasil siasatan ke atas suspek berjaya membawa kepada serbuan kedua pada 6 Julai lalu di sekitar Hulu Klang dan menahan tiga lelaki tempatan," katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahim, susulan itu, polis menahan empat lagi lelaki tempatan bersama lima wanita warga China di sebuah rumah di Kampung Baru, Hulu Klang, kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Katanya, siasatan mendapati rumah yang disewa itu dijadikan tempat simpanan barang-barang hasil perbuatan jenayah mereka.

"Dua daripada suspek yang ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau seperti pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

"Lima wanita warga China itu mempunyai dokumen perjalanan sebagai pelancong namun polis masih menyiasat kesahihan dokumen tersebut," katanya lagi.

Abdul Rahim berkata, modus operandi digunakan geng terbabit adalah dengan menggunakan kereta-kereta sewa mewah yang ditukarkan nombor pendaftaran untuk melakukan jenayah.

"Dengan menggunakan kereta itu, mereka akan membuat pemerhatian sebelum memecah masuk.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sembilan buah TV plasma, peti sejuk (satu), komputer (satu), komputer riba (dua), telefon bimbit (17).

"Selain itu kad kredit bank, sejumlah nombor pendaftaran kenderaan palsu serta peralatan memecah rumah seperti pemotong besi, parang, tukul besi dan kuku kambing.

"Dengan penangkapan itu juga, polis turut merampas sebuah kereta BMW, Honda Accord dan Toyota Camry selain wang berjumlah lebih RM50,000," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman mulai hari ini dan akan di siasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan

No comments:

Post a Comment