Friday, July 16, 2010

2 rakyat kita bawa dadah ditahan

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
2010/07/17


Kristina Anak Luke NijuPelajar tunggu bicara di China, tukang masak cuba seludup ke Riau

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia masing-masing ditahan di China dan Indonesia kerana cuba menyeludup dadah termasuk pil khayal bernilai lebih RM600,000. Dalam kejadian pertama, pelajar perempuan Politeknik Kuching, Kristina Anak Luke Niju, 22, yang dilaporkan hilang selepas mengikut lelaki Afrika ke China atas urusan perniagaan sejak April lalu, kini ditahan di Pusat Tahanan Hainan's Danzhou kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki tempatan ditahan pihak berkuasa Kepulauan Riau bersama 20,000 pil khayal Crimin 5 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran itu, Selasa lalu.

Kristina atau nama gelarannya Corie, ditahan Biro Narkotik Antipengedaran Dadah di sebuah lapangan terbang di China, dipercayai selepas dikesan membawa dadah yang disembunyikan dalam beg tangannya, pada 29 April lalu.

Pelajar dari Sandakan, Sabah itu ditahan di pusat tahanan berkenaan sementara menunggu tarikh perbicaraan kesnya yang difahamkan akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, mengesahkan penahanan pelajar itu dan pihaknya menerusi wakil kedutaan Malaysia di China bakal menga-dakan rundingan dengan pusat tahanan itu bagi membolehkan sekurang-kurangnya ibu bapa Corie melawatnya pada masa terdekat.
Terdahulu, pada sidang media, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, penahanan Corie dimaklumkan oleh Wisma Putra semalam selepas ibu bapa pelajar itu membuat laporan ke pejabatnya, tiga hari lalu.

“Buat masa ini, Konsulat Jeneral kita di Guangzhou sedang bekerjasama dengan pihak pentadbiran pusat tahanan Hainan bagi mengetahui keadaan Corie.

Tiga hari lalu, bapa gadis itu, Luke Niju Anak Panjang, 58, membuat aduan ke pejabat itu selepas rakan serumah anaknya, Ernie Yanti, 23, menerima e-mel Corie pada 10 Mei lalu yang menyatakan ‘Tolong bantu saya dalam kesusahan di China dan tiada wang untuk pulang ke Malaysia.’

Corie turut mendakwa rakan lelakinya, James yang dikenali menerusi Facebook, sudah meninggalkannya sebaik menerima wang daripada individu di China.

Michael berkata, pihaknya percaya James masih di Malaysia menggunakan visa pelajar untuk memasuki negara ini dan menyasarkan pelajar kolej sebagai mangsa menerusi internet.

Katanya, pihaknya dimaklumkan wakil pejabat Konsulat di Guangzhou mengenai tujuh wanita Malaysia yang sudah disabitkan kesalahan mengedar dadah.

Semua dipenjarakan seumur hidup termasuk bekas penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 26.

Sementara itu, sumber berkata, lelaki berusia 23 tahun itu yang bekerja sebagai tukang masak di Kota Kinabalu, Sabah, ditahan Jabatan Kastam dan Eksais Indonesia di Pelabuhan Tanjung Balai Karimun kira-kira jam 4 petang sejurus tiba dari Kukup, Pontian, menaiki bot ekspres, MV Zone 1.

Sumber memberitahu, suspek ditahan selepas mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dalam bagasi dibawanya sebelum diarah menjalani pemeriksaan lanjut yang membawa penemuan pil khayal berkualiti tinggi disembunyikan dalam bungkusan aluminium.

Dalam keterangannya kepada Unit Narkotik Polis Republik Indonesia (POLRI) Riau, lelaki terbabit mendakwa tidak mengetahui kewujudan dadah berkenaan dan mendakwa sekadar memenuhi permintaan rakan baiknya menghantar bungkusan kepada seseorang di pulau itu.

Penahanan itu yang kedua membabitkan warga Malaysia di Kepulauan Riau sepanjang tahun ini atas kesalahan menyeludup dadah. Pada 22 Januari lalu, seorang wanita berusia 45 tahun ditahan bersama 10 bungkusan berisi 10,112 pil ecstasy dan dua beg plastik kristal methamphetamine seberat dua kilogram bernilai lebih RM2 juta

No comments:

Post a Comment