Sunday, July 25, 2010

Warga Nigeria ditahan seludup syabu

KOTA KINABALU 25 Julai 2010 - Seorang lelaki Nigeria yang baru tiba di negara ini gembira selepas melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa dikesan melakukan kesalahan.

Tanpa menimbulkan sebarang rasa syak, dia menaiki pula sebuah pesawat untuk ke Sabah dan turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kelmarin.

Bagaimanapun, helah lelaki berusia 37 tahun itu terbongkar apabila dia akhirnya dikesan membawa sejumlah 2.7 kilogram dadah syabu bernilai RM688,000 dalam bagasinya.

Lelaki itu akhirnya ditangkap oleh anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah setelah mengesyaki tingkah lakunya yang mencurigakan sebaik sahaja tiba di KKIA.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, suspek menyorok dadah syabu tersebut di bahagian dalam bagasinya yang telah diubahsuai.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Md. Yusop Mansor berkata, pihaknya meragui barangan yang dibawa lelaki berkenaan selepas melakukan imbasan komputer.

"Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas bagasi lelaki berkenaan, kami menemui sejumlah dadah jenis syabu disembunyikan di satu sudut rahsia dalam bagasi tersebut.

"Keseluruhan dadah syabu yang ditemui itu dianggarkan seberat 2.7 kilogram dengan nilai pasaran mencecah RM688,000," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat KDRM Sabah di sini hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah JKDM negeri, Janatan Kandok dan Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan JKDM Sabah, Hassan Ali.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kejayaan terbaru ini, kata beliau, merupakan kes keempat pihaknya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah melalui lapangan terbang di negeri ini.

Bagi kes yang pertama, katanya, suspek telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati manakala dua lagi kes masih dalam prosiding pendakwaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya akan terus meningkatkan usaha mencegah aktiviti penyeludupan di negeri ini.

"Ini merupakan tanggungjawab kita dan JKDM akan terus berusaha lebih gigih mencegah kemasukan dan penyeludupan dadah ke negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment