Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Julai – Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk kerugian RM250,000 apabila kenderaan mewah jenis Porsche Cayenne miliknya dilarikan dua lelaki ‘alim’ di hadapan sebuah masjid di Jalan SS3 Sungai Way dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa yang juga bekas pegawai kerajaan sedang memandu kereta seorang diri sebelum kenderaannya tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh dua lelaki berkopiah yang menaiki kereta Toyota Ipsum.
Dia yang menyangka kedua-dua lelaki itu adalah orang baik kerana masing-masing berkopiah dan mungkin dalam perjalanan ke masjid, segera keluar menemui mereka untuk berbincang mengenai tuntutan berikutan kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa bagaimanapun terkejut apabila salah seorang daripada mereka tiba-tiba keluar dari kereta sambil membawa sebilah parang dan mengacu senjata itu kepadanya.
Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan kereta Porsche dan telefon bimbit kepada mereka sebelum melarikan diri dengan kenderaan tersebut.
Katanya, kedua-dua penjenayah berusia antara 30 hingga 40 tahun itu bagaimanapun meninggalkan kereta Toyota Ipsum yang dinaiki mereka sebelumnya.
“Mangsa kemudian memandu kereta yang ditinggalkan penjenayah terbabit untuk pergi membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Sungai Way,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Arjunaidi berkata, mangsa berusia 76 tahun bernasib baik kerana tidak dicederakan oleh penjenayah berkenaan.
Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan mendapati kereta Toyota Ipsum yang digunakan penjenayah untuk melanggar mangsa merupakan kenderaan curi.
Katanya, kereta terbabit pernah dilaporkan hilang di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini baru- baru ini.
“Suspek sengaja menukarkan kereta Totoya Ipsum dengan Porsche Cayenne kerana mengetahui nilai kereta Porsche itu lebih tinggi.
“Mangsa pula berjaya diperdayakan kerana penjenayah berlagak alim dengan berkopiah dan melakukan jenayah itu di depan masjid,” katanya.
Monday, July 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment