Thursday, July 15, 2010

Dadah RM530,000 dirampas

KUALA LUMPUR 15 Julai 2010 - Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM530,000 serta menahan empat lelaki dalam tiga serbuan di ibu negara dan Selangor minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pada kes pertama, polis menahan dua lelaki berumur 41 dan 55 tahun dan merampas 38 ketulan dadah jenis ganja seberat 33.7 kilogram bernilai RM85,000.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan ketika sedang berjalan kaki kira-kira pukul 7.40 malam Rabu di Kampung Baru di sini.

Polis menemui enam ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 5.6 kilogram dalam beg yang dibawa lelaki itu, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, suspek kemudian membawa polis ke parkir kenderaan di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang dan polis menemui 29 ketulan ganja seberat 27.2 kilogram dalam kereta jenis Volvo milik suspek.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek pula, polis menemui tiga ketulan yang disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 0.9 kilogram," katanya.

Tiga jam kemudian, polis menahan rakan lelaki itu, seorang pemandu teksi berusia 55 tahun di Taman Seri Gombak, Batu Caves yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Muhammad Sabtu berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

Pada serbuan kedua, kira-kira pukul 10.30 malam Selasa lepas, polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 38 tahun di sekitar Taman Melati, Setapak dan merampas lima bungkusan yang disyaki dadah jenis heroin seberat 2.3 kilogram bernilai RM65,000.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek di Batu Caves, Selangor telah membawa kepada rampasan satu botol plastik jernih yang mengandungi dadah jenis ganja dengan berat 0.21 kilogram.

"Di situ, kami juga rampas wang tunai berjumlah RM9,000, dua kereta Honda Civic dan Proton Wira," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment