Oleh Dzulkarnain Taib
SHAH ALAM 20 Julai - Manjeet Singh Dhillon, salah seorang peguam kepada bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkata pihak yang mencuri komputer ribanya dalam kejadian pecah rumah semalam berkemungkinan akan merubah dan merekacipta maklumat yang terdapat dalam komputer riba beliau.
Dalam satu kenyataan media ringkas yang diemel kepada Suara Keadilan dari kotaraya itu lewat malam semalam melalui peguam Americk Sidhu, Manjeet berkata komputer riba itu adalah satu-satunya sasaran penceroboh yang memasuki rumah beliau.
"Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa rumah saya di Kuala Lumpur telah diceroboh. Sasaran utama penceroboh ialah komputer riba saya. Saya akan segera kembali ke tanahair untuk mengurus insiden ini.
"Ini adalah kejadian kedua yang berlaku kepada saya bila mana saya sedang mengendalikan urusan berhubung kes Bala. Rumah saya dibaling bom petrol sejurus temuramah Bala di Singapura da kini selepas memberi keterangan di London dan Paris rumah saya sekali lagi dimasuki penceroboh.
"Agak aneh banyak barangan berharga termasuk barang kemas kepunyaan isteri saya di dalam bilik di mana komputer riba saya berada tidak disentuh langsung," kata Manjeet dalam kenyataan beliau.
Manjeet berkata beliau akan membuat kenyataan lanjut mengenai insiden ini dan akan membuat laporan polis setibanya di ibu negara.
Dalam kejadian pertama pada 19 November 2009 beberapa bom petrol telah dibaling ke rumah Manjeet yang merupakan seorang peguam terkemuka dan juga bekas presiden Majlis Peguam, dipercayai ada kaitan dengan wawancara dengan Bala yang disiarkan dalam Youtube.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.20 malam itu telah menyebabkan rumahnya di Damansara mengalami kebakaran yang merosakkan dinding garaj rumahnya.
Manjeet berkata ketika itu, insiden tersebut mungkin satu amaran dan ancaman diri dan keluarganya ekoran kehadirannya dalam satu rakaman wawancara dengan Bala di Singapura.
Monday, July 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment