Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2010/07/19
ALOR SETAR: Tiga lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 1,858.6 gram di Sungai Petani, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A Rahim membuat keputusan itu terhadap ketiga-tiga tertuduh, Amri Alamsyah, 41; Iskandar Ibrahim, 33, dan Muhammadiah Hassan, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu. Zamani berkata, selepas meneliti penghujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwa mempunyai kes cukup kuat dan melampaui keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Katanya, mahkamah mendapati banyak keterangan dikemukakan pembelaan meragukan.
“Mahkamah mendapati ketiga-tiga kamu bersalah dan mahkamah tidak mempunyai pilihan, melainkan mengenakan hukuman gantung mandatori sampai mati ke atas kamu,” katanya ketika membacakan keputusan kes itu, semalam.
Ketiga-tiga tertuduh semuanya berasal dari Aceh, kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan ke atas mereka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan pada jam 2.30 petang 6 April 2005 di depan Chin Hin Motor Sdn Bhd, No 10 Jalan Kampung Baru, Sungai Petani dengan niat bersama mengedar dadah jenis ganja seberat 1,858.6 gram.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.
Sunday, July 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment