Wednesday, July 14, 2010

Kapal kargo dirompak lanun

KUCHING 14 Julai 2010 - Sekumpulan lanun bertindak nekad merompak sebuah kapal kargo, M.V Hornbill yang sedang dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke Bintulu, awal pagi semalam.

Rompakan itu berlaku di Pulau Marundung, kira-kira 70 kilometer (40 batu nautika) dari sempadan Tanjung Datu dekat Lundu, kira-kira pukul 1 pagi.

Ketika kejadian, terdapat seramai 19 krew kapal warga Indonesia, Myanmar dan India sedang tidur dalam kapal berkenaan.

Kumpulan lanun itu yang terdiri daripada lapan lelaki menggunakan bot laju dan menaiki kapal kargo membawa pelbagai muatan yang ketika itu berada di perairan Indonesia.

Ketua Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Sarawak, Asisten Komisioner Taib Sabot berkata, kapal kargo itu didaftarkan di bandar raya ini dan sepatutnya singgah di Kuching.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum sempat tiba di sini, kapal itu diserang kumpulan lanun berkenaan.

Ketika kejadian, katanya, lanun itu bertindak mengikat kesemua krew kapal dan kapten kapal itu yang merupakan seorang warga Indonesia.

"Lanun itu kemudian merampas wang yang digunakan untuk membeli barangan keperluan berjumlah RM4,500, tiga unit telefon bimbit, dua buah teropong dan pelbagai barangan lain.

"Sejurus kemudian, kumpulan lanun berkenaan bertindak meninggalkan kapal tanpa mengapa-apakan kesemua krew berkenaan," katanya di sini hari ini.

Taib memberitahu, kapten kapal itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Gita petang semalam sebelum bertolak ke Bintulu untuk meneruskan perjalanan mereka hari ini.

Tambah beliau, PGM telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa Indonesia dan akan meningkatkan rondaan di kawasan perairan Malaysia sebagai langkah keselamatan

No comments:

Post a Comment