Thursday, July 29, 2010

Pelajar perempuan terselamat bila kereta penculik kemalangan

2010/07/29
JERTIH: Seorang pelajar perempuan terselamat daripada menjadi mangsa penculik apabila kereta yang digunakan penjenayah terbabit terbabas semasa membawa lari pelajar berkenaan di Kampung Limbongan, dekat sini, petang semalam.

Pelajar berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Nur Zahirah (SMKNZ), Besut, itu diculik dua lelaki ketika berada di luar pagar sekolah berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Besut,DSP Noor Zainy Mohd Nor, berkata ketika kejadian jam 4.30 petang itu, pelajar terbabit sedang menunggu ibunya mengambil beliau pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolah berkenaan. "Bagaimanapun, ketika mangsa sedang menunggu ibunya, dua lelaki berusia 23 dan 15 tahun yang memandu Perodua Kenari memberhentikan kenderaan lalu turun mengheret pelajar terbabit ke dalam kereta.

"Namun, kereta yang dipandu seorang daripada lelaki terbabit terbabas lalu terjatuh ke dalam parit kira-kira satu kilometer daripada tempat kejadian," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Noor Zainy berkata, polis yang sampai ke tempat kemalangan lima belas minit kemudian mendapati suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan pengsang dalam kereta terbabit.

Katanya, pelajar itu yang cedera parah di kepala dan leher dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) jam 8.30 malam tadi.
"Berikutan kejadian itu, polis melancarkan gerakan mencari dan mengesan suspek dan bertindak atas maklumat awam polis berjaya menangkap dua lelaki berkenaan sejam kemudian di sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut," katanya.

No comments:

Post a Comment