PULAU PINANG 21 Julai 2010 - Pelajar berusia 15 tahun yang ditahan bersama 15 rakannya bagi membantu siasatan dalam satu kes pergaduhan di Taman Lip Sin, Sungai Dua kelmarin, dipercayai adalah ketua kumpulan tersebut.
Difahamkan, rakan kepada remaja itu semalam memanggilnya dengan gelaran "tai lou" dalam bahasa Kantonis yang membawa maksud ketua kumpulan semasa mereka sedang disoal siasat di Balai Polis Jalan Patani di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut termasuk kebenaran panggilan yang digunakan 15 lelaki lain yang rata-rata berusia 20-an kepada remaja terbabit.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan gelaran itu baru diberikan kepada remaja terbabit dengan harapan mereka dilepaskan dan hanya dia dipersalahkan atas insiden itu.
"Mungkin ia hanya nama timangan untuk remaja berkenaan. Bagaimanapun, kita sudah memaklumkan perkara tersebut kepada keluarganya," kata Kong Meng kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, polis menahan 16 orang, termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun bagi membantu siasatan satu kes pergaduhan di Taman Lip Sin di Sungai Dua di sini malam semalam.
Sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan parang itu dikatakan bertindak ganas dengan menyerang dua lelaki yang sedang menjaja di taman berkenaan.
Kedua-dua penjaja tersebut sebelum itu dipercayai telah berselisih faham dengan salah seorang anggota kumpulan yang menyerang mereka.
Kesemua mereka ditahan berdekatan pusat beli-belah Queensbay Mall di sini empat jam kemudian setelah polis berjaya mengesan kenderaan mereka di kawasan tepi laut itu.
Wednesday, July 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment