Monday, July 19, 2010

Dadah RM112,000 dirampas

2010/07/20
JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri berjaya merampas dadah disyaki jenis ganja dan heroin seberat 25 kilogram bernilai RM112,000 untuk jualan runcit, selain menyita harta rampasan bernilai RM92,000 dalam dua serbuan berasingan di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian pertama pada jam kira-kira jam 1.20 pagi Rabu lalu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik cawangan Seri Alam, polis merampas dadah disyaki ganja seberat 24.46 kilogram bernilai RM75,000 dan menyita sebuah motosikal jenis Yamaha TZM 150 dengan nilai anggaran RM7,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini. Ekoran kejadian berkenaan, polis menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang bekerja sendiri dan ujian air kencingnya disahkan positif dadah jenis methamphetamine (syabu), heroin serta ganja, selain suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata suspek dipercayai terbabit penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak setahun lalu dengan bekalan dadah disyaki ganja diperoleh dari Selatan Thailand dan kini ditahan reman selama seminggu bermula daripada tarikh ditangkap.

Sementara itu, dalam kejadian kedua kira-kira jam 12.30 tengah malam, Jabatan Siasatan Jenayah negeri berjaya merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 555 gram bernilai RM37,000 serta menyita harta yang dirampas bernilai anggaran RM85,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Larkin Perdana di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan terbabit, antara harta yang disita termasuk sebuah kereta jenis Naza Citra bernilai RM50,000 dan sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM30,000 selain sebuah motosikal jenis Honda bernilai RM5,000.

Sehubungan itu, dua lelaki berusia 28 dan 36 tahun yang bekerja sendiri ditahan dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

No comments:

Post a Comment